Bunyi
bagaimana dapat kukeluar
dari mulut pagi riuh
dari raung singi lapar ini?
fajar tersentak bagai gonggok
dengan kicau kanak-kanak
tersepit dalam enjin bas
radio dan tv sehari suntuk
menggelegak di sudut kamar
hon van sayur berulang kali
menghiris buaian bayi
sementara jerit kereta sorong
meninggi bersama matahari
senja letih disambut salak
sekumpulan anjing yang galak
penghuni kota menerbangkan keluarga
menghampiri pipi malam
yang digebukan pelbagai bedak
jauh di sebuah gang
di bawah kilat gincu lampu
suara berbaur dari babak berahi
suara yang menghidupkan malam
bagaimana dapat kulari
dari mulut malam riuh
ke dalam perut burung sunyi?
1987
Sumber: Horison (Desember, 1990)